Wawancara Sinar Harian: Institut Darul Ehsan Perkukuh Politik Ilmu

6 April lalu, genap dua tahun penubuhan Institut Darul Ehsan (IDE) sebuah badan pemikir yang ditubuhkan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Selain menjalankan kajian-kajian politik, IDE juga mengambil inisiatif membangunkan pemikiran maqasid syari'ah. Bersempena ulang tahun ini, ikuti temu bual Sinar Harian dengan TIMBALAN PENGERUSI/KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF IDE, PROF DATUK DR MOHAMMAD REDZUAN OTHMAN mengenai pencapaian dan perancangan akan datang IDE.

Boleh kongsikan pencapaian utama IDE?

IDE ditubuhkan pada 6 April 2015, selepas penubuhannya diisytiharkan Menteri Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Belanjawan 2015 Negeri Selangor. IDE ditubuhkan dengan hasrat membantu pelbagai pihak di dalam merangka polisi, hala tuju dan kebajikan bagi membangun kecemerlangan ekonomi, sosio politik, tata kelola kerajaan (good governance) dan kemajmukan masyarakat. Sejak ditubuhkan, IDE berjaya mengembangkan program-programnya dengan penglibatan 25,546 orang. Program-program IDE terbahagi kepada penyelidikan dan program pendidikan masyarakat.

Apakah objektif IDE menjalankan kajian persepsi politik?

Semua parti politik ingin memenangi pilihan raya. Dalam dunia yang semakin canggih, untuk memenangi pilihan raya, ia memerlukan strategi yang juga canggih. Contohnya, kempen menepati sasaran mikro. Ini hanya dapat dilakukan sekiranya parti dan calon benar-benar faham isu-isu semasa serta profil dan persepsi pengundi. Kajian persepsi yang kami lakukan menyediakan maklumat tersebut. Survei dan kajian lapangan ini dijalankan bagi dijadikan asas mengukur persepsi rakyat terhadap isu-isu rakyat supaya tindakan boleh diambil segera oleh pihak berkenaan.

Apakah istimewanya kajian politik IDE berbanding kajian pihak lain?

IDE menghormati semua pihak yang terlibat dalam bidang ini. Kekuatan kajian IDE kerana ia dibuat berdasarkan asas-asas empirikal yang multi-disiplin dan kukuh. Pengalaman saya terlibat dalam kajian survei lapangan sejak di Pusat Demokrasi dan Pilihan raya Universiti (Umcedel), Universiti Malaya dan kini diteruskan di IDE dan Universiti Selangor (Unisel) dengan pengalaman saya menjalankan 24 kajian bersemuka dan hingga kini melibatkan seramai 35,359 orang responden. Sejak ditubuhkan, IDE menjalankan lapan kajian lapangan dan survei persepsi politik dan isu-isu semasa. Kajian yang dijalankan adalah secara akademik dan saintifik dengan memanfaatkan kaedah-kaedah kajian kuantitatif dan kualitatif terkini termasuk memanfaatkan kemajuan prasarana teknologi maklumat (IT). Kajian kami juga menggunakan teknologi terkini. Contoh, penggunaan TAB dan aplikasi perisian IDE E-Survei yang dibangunkan sendiri IDE, digunakan oleh enumerator untuk menemuduga responden. TAB dengan perisian tersebut  dihubungkan ke bilik operasi IDE yang membolehkan survei dipantau. Pemantauan ini lebih berkesan dengan Unit GIS (Geographic Information System) di IDE. Kepakaran GIS ini, kami manfaatkan untuk membuat pemetaan taburan pengundi dan isu-isu persempadanan. Selain itu, IDE membangunkan perisian Spera untuk menganalisis data pilihan raya. IDE juga dengan kerjasama Unisel sedang membangunkan Sistem Sentimen Analisis yang kelak mampu menganalisis data besar Big Data Analytic termasuk mengkaji sentimen rakyat di media sosial. Pengalaman penyelidikan disokong hubungan strategik IDE dengan badan-badan survei lain seperti Lembaga Survei Indonesia (LSI), Habibie Centre Jakarta dan Rajaratnam School of International Studies (RSI) Singapura.

Apakah kesan yang ingin dicapai daripada kajian politik ini?

Survei ini bagi saya adalah satu proses demokrasi kerana mengkaji suara hati persepsi rakyat melalui kaedah saintifik. Kajian tersebut bakal memberi gambaran landskap persepsi rakyat berdasarkan pensampelan data daftar Pengundi Malaysia yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Bagi saya kajian yang dijalankan secara akademik dan saintifik penting kerana ia berasaskan metodologi yang diiktiraf dunia akademik dan antarabangsa. Dengan wujudnya kajian dan penyelidikan khusus berkaitan survei dan analisa memahami persepsi rakyat, maka ini membantu pembuat dasar atau pelbagai pihak buat keputusan tepat setelah ambil kira senario semasa. Kajian seumpama ini mencorak pelan tindakan dan langkah pro aktif menangani isu dan permasalahan rakyat. Rakyat inginkan demokrasi Malaysia yang matang. Asasnya tentulah pemikiran dan tingkah laku politik matang. IDE bukan hanya menjalankan kajian semata-mata. Ia digandingkan dengan diskusi-diskusi politik secara ilmiah dan separa-ilmiah yang pelbagai, contohnya, sidang meja bulat, seminar dan latihan. IDE juga menerbitkan buku politik, contohnya, Membangun Bangsa oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan oleh Prof Siddiq Fadzil, Politik dan Demokrasi: Rachid Ghanouchi dan Politik & Masyarakat Madani. Jadi, pakej IDE ini diharap menyumbang demokrasi matang.

Kita beralih kepada kajian maqasid al-shari’ah. Mengapa IDE menggerakkannya?

Bidang ini berkembang sejak zaman awal kegemilangan Islam oleh tokoh seperti Ibn Ashur, Shaikh Dr Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Dr Ahmad Raisuni dan ramai lagi. IDE menggerakkannya kerana dua faktor. Pertama, bagi menerangkan hakikat Islam sebagai agama rahmat untuk semua (Muslim dan bukan Muslim). Dan kedua, menerangkan bahawa syariah (undang-undang Islam) amat luas dan tidak terhad kepada hukuman semata-mata. Ini dapat membantu dalam menangani isu-isu seperti hudud dan RUU 355.

Apakah pencapaian IDE dalam bidang ini?

IDE menubuhkan Pusat Kajian maqasid al-shari’ah diketuai Pengerusi IDE, Datuk Dr Siddiq Fadzil. Pusat ini menjalankan aktiviti penyelidikan, menganjurkan program untuk khalayak dan penerbitan. Kita anjurkan  seminar antarabangsa, lapan Siri Diskusi Maqasid Al-Shari’ah dan menterjemah buku  maqasid al-shari’ah daripada bahasa Arab dan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Perpustakaan IDE mempunyai koleksi buku maqasid al-shariah dalam tiga bahasa tersebut yang terbesar di rantau ini. IDE juga usahakan penerbitan 100 istilah Glosari Maqasid Shari’ah untuk manfaat penyelidikan dan kefahaman awam. Ini sejajar titah Sultan Selangor yang berkenan agar maqasid al-shari’ah diangkat sebagai asas penggubalan dasar kerajaan negeri. Selain itu, kami buat jaringan strategik dengan Sheikh Yusof al-Qardhawi dan Sheikh Dr Ahmad Raisuni di Kesatuan Ulama Islam Sedunia. Kami bekerjasama kembangkan maqasid shari’ah bersama Prof Dr Jasser Auda, Maqasid Institute London, IIIT Jordan dan Malaysia serta Rabitah Ulama Jordan dipimpin Sheikh Abdul Rahman al-Kailani melalui penyelidikan serta penerbitan. 

Kaitan maqasid al-shari’ah dengan politik Malaysia?

Rakyat Malaysia memilih sistem demokrasi berparlimen. Maqasid al-shari'ah adalah pendekatan berasaskan kebijaksanaan dalam mencapai tujuan politik yang lebih tinggi. Contohnya, tujuan lebih tinggi bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi tatakelola negara yang baik dan mendatangkan nikmat kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Manfaat semua ini untuk semua rakyat.

Hala tuju IDE untuk tahun mendatang?

IDE akan melipatgandakan usaha-usaha mencerdaskan masyarakat agar rakyat Malaysia memulakan suatu tindakan, polisi atau gerak kerja berdasarkan kajian dan penyelidikan ilmiah. Dengan kehadiran IDE, kami akan berusaha sediakan ruang percambahan idea dan perbincangan strategik menghidupkan demokrasi dan keharmonian masyarakat. IDE dalam mencapai objektifnya akan melaksanakan strategi AR2P iaitu Analisis, Respons, Pencerahan dan Pencerdasan. Strategi ini digerakkan melalui program penyelidikan, diskusi, persidangan, seminar, bengkel dan penerbitan. IDE juga ada produk pencerahan masyarakat yang bakal dikembangkan iaitu Akademi Politik, Akademi Kepimpinan Muda dan program mendukung seni dan budaya. Saya yakin, dengan sokongan menteri besar Selangor khususnya dan semua pihak, insya-ALLAH kita dapat mencapainya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/wawancara/institut-darul-ehsan-perkukuh-politik-ilmu-1.656397

Last modified onTuesday, 11 April 2017 22:35

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.