IDE Jalin Kerjasama Jaya Penyelidikan SELANGOR

Featured IDE Jalin Kerjasama Jaya Penyelidikan  SELANGOR

Timbalan Pengerusinya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pendekatan terbabit sejajar mengukuhkan fungsi dan peranan agensi itu sebagai badan pemikir juga ‘think tank’ kepada Kerajaan Negeri. “IDE menghormati semua pihak yang terbabit dalam bidang ini dengan kekuatan kajiannya kerana ia diwujudkan atas landasan berdasarkan emperikal multi-disiplin dan kukuh.

“Sejak ditubuhkan, IDE berjaya menjalankan lapan kajian lapangan dan survei persepsi politik serta isu semasa dengan kajian dilakukan secara akademik juga saintifik, memanfaatkan kaedah kajian kuantitatif juga kualitatif terkini termasuk kemajuan prasarana teknologi maklumat (IT),” katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri dan Perasmian Bangunan IDE di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara kajian dijalankan IDE ialah Survei Landskap Politik Selangor, Survei Persepsi Rakyat Selangor, Survei Persepsi Rakyat Malaysia, Survei Persepsi Rakyat Kelantan dan kesan Terhadap Selangor serta Survei Persepsi Rakyat Menjelang Pilihan Raya Kecil Sungai Besar.

Katanya, kerjasama turut dijalankan dengan Penyelidikan Analisis Keperluan Guru-Guru Sekolah Rendah Agama di Selangor membabitkan IDE-Universiti Selangor dan Universiti Sains Islam Malaysia, Penyelidikan Dasar Belia Selangor (IDE- Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS Universiti Putra Malaysia), Penyelidikan Pilihan Raya Sarawak dan kesannya kepada Politik Semenanjung khususnya Selangor (IDE)- IESAD Unisel) dan Penyelidikan Penggubalan Dasar Wanita Selangor bersama Institut Wanita Berdaya Selangor.

“Hingga akhir pertengahan tahun ini, IDE berjaya membabitkan lebih 35,546 orang dalam program dan aktiviti dijalankan seperti penyelidikan, diskusi, persidangan, seminar, bengkel serta penerbitan.

“Ia melalui lima kluster utama iaitu kluster polisi dan ketamadunan, kluster penyelidikan, kluster pendemokrasian dan ekonomi, kluster pendidikan politik dan demokrasi serta kluster pendidikan dan kebudayaan,” katanya.

Bagi menggerakkan kajian dan survei dijalankan, beliau berkata, IDE menggunakan teknologi terkini seperti TAB dan Aplikasi Perisian IDE E-Survei yang dibangunkan sendiri.

Katanya, alat menemu duga responden itu dihubungkan ke bilik operasi bagi membolehkan aktiviti survei dipantau secara langsung (real time).

“Survei dijalankan turut membabitkan pemantauan melalui Geographic Information System (GIS) dengan kepakarannya dimanfaatkan untuk membuat pemetaan taburan pengundi dan isu persempadanan bagi membolehkan kajian lebih tepat dihasilkan.

“Selain itu, IDE juga membangunkan perisian SPERA untuk menganalisis data pilihan raya. “Bagi memastikan okjektif penubuhan IDE dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, bantuan daripada Kerajaan Negeri dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) membantu menyempurnakan penyediaan prasarana bangunan IDE yang lengkap,” katanya.

Majlis perasmian bangunan IDE disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

 

SUMBER SELANGORKINI: https://selangorkini.my/2017/07/ide-jalin-kerjasama-jaya-penyelidikan/

Last modified onSunday, 16 July 2017 08:31

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.