Masa Depan Laut China Selatan: Satu Analisis

  • Written by Wan Hazwani binti Wan Hamedi
  • Published in Artikel
  • 0 comments
Featured Masa Depan Laut China Selatan: Satu Analisis

Oleh: Wan Hazwani binti Wan Hamedi, Penyelidik IDE 

Laporan tentang Isu Laut China Selatan Isu laut China Selatan sejak kebelakangan ini sedang hangat diperkatakan berikutan daripada keputusan oleh Tribunal Timbang Tara Antarabangsa (PCA) di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berpusat di The Hague, Belanda telah memutuskan menolak tuntutan China ke atas Laut China Selatan menerusi “Sembilan garis-putus” (lihat rajah 1). Isu ini telah mula mendapat perhatian dunia sejak Filipina memfailkan perkara ini sejak 3 tahun yang lalu setelah China dikatakan melanggar hak kedaulatan Filipina dalam zon ekonomi ekslusif, EEZ berikutan tindakan mereka yang turut campur tangan dalam aspek perikanan dan eksplorasi petroleum Filipina. Selain itu, pihak China juga telah membina pulau-pulau buatan di kawasan perairan tersebut di samping gagal menghalang nelayan-nelayan China daripada menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan berkenaan.

Oleh itu, pada 12 Julai 2016, pihak tribunal telah menetapkan beberapa perkara penting yang berbangkit daripada kawasan-kawasan yang dituntut oleh Malaysia dan China di Laut China Selatan.

Rajah 1: Kawasan Sembilan garis-putus (nine-dash line) yang dituntut oleh China.

(sumber:http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kesan-timbangtara-laut-china-selatan-ke-atas-malaysia-111323)

Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh tribunal timbang tara:

1. Pihak tribunal mendapati tiada undang-undang asas untuk China dalam menuntut hak-hak bersejarah terhadap sumber-sumber yang terdapat dalam kawasan perairan “Sembilan garis-putus”.

2. Pihak tribunal mendapati tiada satu pun ciri-ciri yang dituntut oleh China adalah berupaya untuk mengahsilkan satu Zon ekonomi ekslusif, EEZ daripada 200 batu nautika.

3. Pihak tribunal mendapati China telah melanggar kedaulatan Filipina dengan menyekat aktiviti perikanan oleh nelayan dari Filipina di samping membina pulau-pulau buatan dan gagal untuk menghalang nelayan-nelayan China melakukan aktiviti perikanan di kawasan EEZ Filipina.

4. Pihak tribunal mendapati China telah menyebabkan kemudaratan yang teruk terhadap persekitaran marin akibat daripada aktiviti-aktiviti penambakan (reclamation activities) di beberapa kawasan Kepulauan Spratly. (lihat rajah 3)

5. Pihak tribunal mendapati China telah mencabuli obligasi yang telah dipersetujui supaya tidak memburukkan atau meluaskan lagi pertikaian sementara menunggu proses penyelesaian berikutan daripada aktiviti penambakannya secara berskala yang besar. 

Rajah 2: peta perairan Laut China Selatan menunjukkan tuntutan pelbagai wilayah.

 

 Rajah 3 Laut china selatan

Rajah 4: tuntutan bertindih maritime yang dituntut oleh beberapa buah negara ke atas laut China Selatan (kuning: Malaysia, hijau: Brunei, jingga: Vietnam, perang: Filipina, merah: China,

sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kesan-timbangtara-laut-china-selatan-ke-atas-malaysia-111323)

Laut China selatan merupakan sebahagian daripada lautan pasifik yang meliputi kawasan dari Singapura dan Selat Melaka ke Selat Taiwan sekitar 3500.00 kilometer persegi. Ianya juga terletak dalam kawasan-kawasan seperti berikut: - Selatan Tanah Besar China dan Pulau Taiwan - Barat Filipina - Barat Laut Sabah (Malaysia), Sarawak (Malaysia) dan Brunei - Utara Indonesia - Timur Laut Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) dan Singapura - Timur Vietnam Isu yang dibangkitkat di Laut China Selatan ini bermula ketika Malaysia bersama-sama dengan lima negara lain iaitu Filipina, Vietnam, Indonesia, Brunei dan China membuat tuntutan ke atas beberapa kawasan di Laut China Selatan.

Berdasarkan kepada perkara yang termaktub dalam LOSC, mana-mana negara mempunyai hak untuk membuat tuntutan terhadap wilayah laut sehingga 12 batu nautika wilayah Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) dan pelantar benua. Kepulauan Spratly atau dikenali sebagai kepulauan Nansha oleh masyarakat di Tanah Besar China secara geografinya lebih dekat dengan negara-negara Asia Tenggara. Kepulauan ini dikatakan pernah menjadi hak milik empayar Jepun sehingga penghujung Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. Pihak Jepun telah melepaskan kedaulatan ke atas kepulauan ini pada tahun 1951 melalui Perjanjian Perdamaian San Fransisco antara Jepun dan pihak Berikat. Pihak negara China mengatakan tuntutan yang dibuat ke atas Laut China Selatan mesti dilihat dari segi ideology sejarahnya, dan berikutan daripada itu Laut China Selatan merupakan milik China dan kedaulatannya juga harus diletakkan di bawah negara tersebut. Selain itu, menerusi sumber berita Awani pada September 2015 ada melaporkan mengenai kenyataan Laksamana China iaitu Yuan Yubai mengatakan Laut China Selatan adalah milik China berdasarkan kepada namanya “Laut China Selatan”. China telah memulakan aktiviti-aktiviti penambakan di kepulauan Spratly sebagai lambang kedaulatan menerusi kependudukan efektif (effectivitae). Keadaan ini telah menyebabkan beberapa negara mempertikaikan Sembilan garis-putus yang dianggap telah melanggar syarat-syarat yang dipersetujui di bawah undang-undang antarabangsa.

Dengan ini, Filipina telah memulakan penentangan terhadap isu ini dengan memfailkan kes menentang China pada 22 Januari 2013 kepada PCA seperti yang dibenarkan dalam Artikel 287 LOSC. Keputusan terhadap isu ini telah diputuskan oleh pihak tribunal dan kenyataan media berkenaan isu ini telah disiarkan oleh pihak tribunal pada tarikh 12 Julai 2016 dengan memutuskan ‘sembilan garis-putus’ yang dituntut oleh kerajaan China berdasarkan faktor sejarah adalah tidak bertepatan dengan perkara-perkara yang terkandung dalam undang-undang antarabangsa. Pihak tribunal juga menyatakan kerajaan China seharusnya menghormati hak dan kebebasan Filipina dan mematuhi kewajipannya di bawah konvensyen terhadap tuntutan yang dilakukan oleh kerajaan Filipina.

Kesan terhadap kerajaan Malaysia

Hasil daripada keputusan PCA ini mendapati, jika digunakan untuk kes-kes lain di Laut China Selatan, keadaan ini akan lebih mengukuhkan tuntutan Malaysia ke atas kawasan-kawasan seperti James Shoal atau Beting Serupai, yang terletak hanya 80 km sebelah barat laut dari Bintulu, Sarawak dan juga di dalam pelantar benua Malaysia dan 200 batu nautika EEZ.

Selain itu, tuntutan Malaysia ke atas Utara Luconia Shoals (atau Gugusan Beting Raja Jarun) dan Selatan Luconia Shoals (Gugusan Beting Patinggi Ali) yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Sarawak juga akan lebih diperkukuhkan. Keadaan ini dapat dilihat melalui gambaran daripada Rajah 1 iaitu tuntutan China melalui Sembilan garis-putus. Tuntutan China terhadap kawasan ini secara amnya akan memberi kesan ke atas wilayah perairan di bahagian Sabah dan Sarawak berikutan daripada China memutuskan kawasan tersebut merupakan hak milik kerajaan mereka sepenuhnya. Keputusan yang dilakukan oleh PCA berkaitan tuntutan China ke atas “Sembilan garis-putus” ini telah memberi kelebihan kepada kerajaan Malaysia kerana kebanyakan daripada tuntutan maritime oleh Malaysia terletak lebih dari 200 batu nautika dari Tanah Besar China. Maka tuntutan China yang dikatakan tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa telah membolehkan tidak lagi berlakunya pertindihan tuntutan dalam aspek maritime antara Malaysia dan China. Keputusan daripada PCA ini juga membolehkan Malaysia berada di tahap yang lebih baik dalam memastikan insiden seperti pencerobohan Beting Patinggi Ali yang kedudukan sebenarnya adalah dalam kawasan perairan Malaysia tidak berlaku lagi.

Kesimpulan

Walaupun kerajaan China mengambil pendekatan tidak mengiktiraf keputusan sebulat suara yang dilakukan oleh PCA ini, Malaysia seharusnya menyambut baik keputusan tersebut. Berikutan daripada hubungan baik Malaysia dan China dalam bidak ekonomi, Malaysia juga seharusnya meminimumkan kegelisahannya terhadap China dengan meneruskan rundingan dua hala dalam bidang pertikaian serta mengadakan rundingan berhubung isu Laut China Selatan dalam pertubuhan ASEAN dengan China. Ini merupakan perkara yang penting bagi negara-negara yang terlibat terutamanya dalam kalangan rantau Asia Tenggara yang menuntut kedaulatan di Laut China Selatan untuk mencapai kata sepakat. Negara-negara terlibat seharusnya sedaya-upaya mengelak daripada berlakunya pertikaian wilayah maritim yang tidak aman. Kerajaan Malaysia sebagai contohnya harus menggalakkan rakyat supaya terus bersatu dalam menegakkan kedaulatan negara dalam isu Laut China Selatan. Kerajaan Malaysia juga disarankan supaya mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti perikanan di kawasan yang menjadi pertikaian ini dengan menggalakkan aktiviti memancing dalam kalangan nelayan negara ini. Mereka juga seharusnya menjalankan rondaan yang kerap di kawasan perairan ini bagi menunjukkan ketegasan kerajaan berhubung isu pengiktirafan beberapa kawasan perairan di Laut China Selatan yang juga dituntut oleh Malaysia.

Last modified onTuesday, 21 March 2017 18:22

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.