Pemilihan Donald Trump sebagai Presiden akan jejaskan hubungan AS dengan Dunia Islam

Featured Pemilihan Donald Trump sebagai Presiden akan jejaskan hubungan AS dengan Dunia Islam

Pada 8 November yang lalu, Amerika Syarikat (AS) telah mengadakan pilihanraya umum di mana berlakunya pemilihan di peringkat presiden, gabenor negeri dan senator. Pemilihan yang menjadi tumpuan tentulah di peringkat presiden di mana Donald Trump daripada parti Republikan dan Hillary Clinton dari Parti Demokrat bertanding merebut jawatan Presiden menggantikan Presiden Barrack Obama yang kini sedang menyandang jawatan. Walaupun pilihanraya diadakan pada bulan November 2016, namun bahang pilihanraya sudah terasa sejak pertengahan tahun 2015, di mana dua parti terbesar di AS, Republikan dan Demokrat mengadakan Pemilihan Calon atau Primaries.1 Di dalam Primaries ini, calon-calon akan mengumumkan hasrat mereka untuk menjadi calon serta terlibat dalam berkempen hampir di keseluruh negeri-negeri AS serta terlibat dalam debat di peringkat Primaries. Setelah Primaries yang pertama di Iowa pada bulan Febuari 2016, 2 calon teratas bagi peringkat Republikan adalah Donald Trump serta Ted Cruz. Bagi Demokrat pula, Bernie Sanders bersaing dengan Hillary Clinton untuk menjadi calon parti.2 Namun pada akhirnya setiap parti memilih calon yang mendapat  delegasi atau delegates terbanyak.

Bagi parti Republikan, Trump dan Cruz dianggap sebagai calon yang anti-establishment. Walaupun mereka mempunyai penyokong fanatik tersendiri namun mereka tidak disukai oleh pimpinan parti Republikan. Namun Trump berjaya mendapat populariti yang sangat tinggi kerana mesej beliau yang sangat mudah dan kadang-kadang terlampu simplistik menyebabkan ramai yang sukakannya. Ditambah lagi Trump sering menuding jari kepada imigran seperti orang-orang keturunan Mexico dan Islam yang dianggap telah mencuri kerja daripada orang-orang Amerika terutamanya orang kulit putih.3 Trump juga dianggap kebal daripada segala kontroversi walaupun begitu banyak pihak mendedahkan segala skandal dan kerugian yang beliau lakukan semasa menjadi jutawan, namun orang masih lagi menyokongnya kerana beliau dianggap jujur tanpa berselindung. Malah status beliau yang baru dalam politik dianggap sebagai satu kelebihan kerana ianya dianggap tidak pernah melakukan korupsi serta tidak terlibat dengan pelobi bank, korporat besar serta career politician.4 Ironinya Trump sebenarnya adalah manifestasi segala kejelikan Wall Street dan golongan orang kaya 1 peratus yang merenggut tengkuk Washington, namun perkara ini langsung tidak diambil endah oleh penyokong Trump.

Berbeza pula dengan Demokrat, calon yang dipilih adalah calon establishment iaitu Hillary Clinton. Beliau dianggap mempunyai ramai rakan-rakan dalam syarikat multinasional serta berpengalaman besar dalam politik seperti pernah menjadi senator dan Setiausaha Negara. Malah beliau sendiri pernah menetap di White House sebagai isteri kepada Presiden Bill Clinton.5 Namun Hillary mendapat saingan kuat daripada Bernie Sanders, yang dianggap sebagai calon bersih dan membawa agenda sosialisme serta welfare state yang telah ditinggalkan oleh AS sekian lama. Sanders sejak zaman mahasiswanya telah terlibat dengan aktiviti protes untuk hak asasi manusia semasa tahun 1960an dan antara senator yang menolak perang Iraq pada tahun 2003. Beliau juga didokong oleh ramai anak muda kerana janji beliau untuk memberi pendidikan percuma.6 Namun selepas Sanders berundur untuk memberi laluan kepada Hillary, banyak penganalisis melihat Hillary memasukkan beberapa agenda Sanders untuk memastikan undi Demokrat tidak berpecah.

Walaupun seluruh dunia menanti Hillary sebagai Presiden wanita AS yang pertama, namun dunia dikejutkan dengan kemenangan Trump. Trump menang dengan mendapat undi majoriti bagi Electoral College, iaitu 306 undi berbanding Hillary 232, walaupun kalah dari sudut undi popular berbanding Hillary. Sebanyak 30 negeri memilih Trump sebagai presiden manakala 20 negeri dan Washington DC memilih Hillary sebagai presiden. Dari sudut undi popular pula, Hillary mendapat 48 peratus undi popular manakala Trump mendapat 46.29 peratus undi daripada 120 juta undi.7 Perkara ini mengejutkan kerana hampir semua media dan kaji selidik pilihanraya meletakkan Hillary di hadapan. Ini kerana hasil daripada debat presiden serta pelbagai skandal yang dihadapi Trump, mereka merasakan mustahil Trump dapat menang. Namun analisis pasca pilihanraya menunjukkan bahawa ramai yang memandang rendah sokongan golongan pertengahan kulit putih terhadap Trump serta kebencian mereka kepada Hillary. Malah ramai pendokong Obama pada tahun 2008 dan 2012 juga tidak sukakan Hillary menyebabkan mereka enggan mengundi Hillary.8

Walaupun secara rasminya, ramai pemimpin Dunia Islam mengucapkan tahniah, namun dunia masih lagi menunggu apakah tindakan Trump dari sudut dasar luar.9 Menerusi manifesto Trump semasa kempen, beliau dilihat akan mengambil tindakan keras dalam isu Timur Tengah seperti perang saudara di Syria. Adakah beliau akan menghantar tentera Amerka ke sana? Namun siapa sebenarnya yang Amerika akan bantu? Tentera Assad atau tentera pejuang? Ini kerana umum mengetahui bahawa Trump mengkagumi Putin dan berkemungkinan tidak mahu campur tangan urusan Russia terutamanya apabila rejim Assad didukung oleh Putin. Kebimbangan yang terbesar tentulah mengenai layanan kerajaan Amerika selepas ini terhadap rakyat Amerika beragama Islam. Fenomena Islamofobia yang meningkat sejak peristwa 9/11 dan ISIS tentu akan lebih membarah apabila presiden sendiri dilihat memusuhi orang Islam.10 Ramai yang berharap bahawa retorik Trump tersebut hanyalah kempen politik semata-mata dan tidak akan diteruskan apabila beliau betul-betul memegang kuasa.

 Menurut Sheikh Hamza Yusuf, seorang intelektual Muslim tersohor menulis mengenai pentingnya tidak putus harapan dengan keputusan pilihanraya kali ini.11 Beliau mengingatkan bahawa peritiswa kali ini mengajar kita untuk terus berjuang. Ramai anak muda menolak retorik perkauman, di mana majoriti pengundi berumur 18 sehingga 39 menolak Trump.12 Ini menunjukkan bahawa masa depan negara Amerika akan diwarisi oleh rakyat yang progresif. Undang-undang Amerika juga adalah antara yang terkehadapan dalam melayani imigran dan toleransi terhadap minoriti adalah tertinggi dalam sejarah. Hamza Yusuf juga mengharapkan bahawa rakyat Amerika tidak berpecah dan menuding jari menyalahkan orang lain. Pilihanraya kali ini juga bagi beliau sepatutnya membuka mata orang Amerika sendiri tentang sistem dalaman yang perlu diperbaiki serta sentiasa simpati dengan krisis di negara luar dan bukan sekadar mementingkan diri sendiri sahaja.

 Mohammad Syazwannuddin Bin Shaharuddin 

1) http://www.cbsnews.com/media/gop-republican-debate-august-2015-highlights-analysis/

2) https://www.theguardian.com/us-news/live/2016/feb/01/iowa-caucus-vote-live-donald-trump-ted-cruz-bernie-sanders-hillary-clinton-2016

3) https://www.washingtonpost.com/posteverything/wp/2016/05/10/why-donald-trump-seems-invulnerable-to-the-flip-flop-charge/?utm_term=.dfa21bff00d1

4) http://www.usatoday.com/story/news/nation-now/2016/10/01/donald-trump-novi-michigan-rally-campaign/91382940/

5) https://www.thenation.com/article/why-progressives-should-vote-for-hillary-clinton/

6) http://www.latimes.com/politics/la-na-clinton-sanders-age-20160419-story.html

7) http://edition.cnn.com/election/results/president

8) http://www.japantimes.co.jp/opinion/2016/11/25/commentary/world-commentary/six-reasons-trumps-win-wasnt-surprise/#.WD0ZflxLDIU

9) http://www.aljazeera.com/news/2016/11/world-leaders-react-donald-trump-triumph-161109083310076.html

10) http://www.thenational.ae/world/americas/hate-crime-and-islamophobia-increases-after-trump-victory

11)  https://sandala.org/we-shall-overcome/sandala.org/we-shall-overcome/

 12) http://www.bbc.co.uk/newsbeat/article/37920950/who-voted-for-trump-not-young-people-say-exit-polls

Last modified onWednesday, 11 January 2017 00:02

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.